Polis buru Kecik, suspek curi kabel lolos selepas dikejar lebih 100km

Iklan
Lapran Sinar Harian pada Selasa (kiri), Dzulkhairi

MELAKA – Polis Melaka giat memburu seorang suspek sindiket curi kabel dikenali sebagai Kecik yang berjaya meloloskan diri dalam insiden dikejar kereta peronda polis (MPV) pada Selasa lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 25 tahun berasal dari Teluk Intan, Perak itu merupakan salah seorang individu yang dikejar polis dalam kejadian itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, polis yakin suspek yang kini bersembunyi di luar Melaka akan dapat dicekup dalam masa terdekat selepas gambarnya diedarkan sebagai orang buruan polis.

"Kita dah dapat segala bukti dan maklumat mengenai Kecik malah hasil semakan juga mendapati dia mempunyai rekod jenayah.

Iklan

"Seperti mana rakannya berusia 29 tahun yang ditahan selepas dikejar polis itu turut mempunyai 14 rekod jenayah selain enam rekod dadah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 14 anggota serta pegawai polis yang terlibat dalam insiden itu termasuk anggota MPV terlibat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, pada Jumaat.

Iklan

Sinar Harian pada selasa lalu melaporkan tindakan pemandu pacuan empat roda yang membawa muatan kabel curi meloloskan diri berakhir secara dramatik selepas dikejar polis sejauh lebih 100 kilometer.

Suspek yang menaiki kenderaan bersama rakannya itu berjaya diberkas di Lebuhraya PLUS arah utara, berhampiran Plaza Tol Alor Gajah, namun rakannya telah meloloskan diri ke seberang lebuh raya dan polis dalam usaha mengesan suspek.

Dalam cubaan melarikan diri, lelaki berusia 29 tahun yang memandu Toyota Hilux itu bertindak merempuh tiga buah kereta, sebuah lori di lebuh raya dan palang tol selain memandu melawan arus ke arah Johor Bahru, sebelum membuat pusingan U di susur masuk lebuh raya, sekali gus meneruskan perjalanan ke arah Kuala Lumpur.

Kejadian berlaku apabila anggota MPV yang sedang menjalankan rondaan di kawasan Perindustrian Teknologi Cheng terserempak dengan sebuah Toyota Hilux dalam keadaan mencurigakan sebelum suspek bertindak melarikan dan dikejar MPV.

Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemui 44 batang wayar kabel disyaki dicuri.