Dua bekas pekerja kilang didakwa pecah amanah RM2.97 juta

Iklan
Kian Hwee (kanan) dan Hsean Soon (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan melakukan pecah amanah barangan mentah sehingga syarikat itu mengalami kerugian mencecah RM2.97 juta, tahun lalu.

KUALA LUMPUR - Dua bekas pekerja kilang pembungkusan makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan melakukan pecah amanah barangan mentah sehingga syarikat itu mengalami kerugian mencecah RM2.97 juta, tahun lalu.

Bekas Pengurus Besar Pengeluaran, Syarikat Contipak Noron Sdn Bhd, Koh Kian Hwee, 57, dan bekas pembantu pengurus pengeluarannya, Kua Hsean Soon, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Hamidah Mohamed Deril.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan pecah amanah, membabitkan barangan mentah bernilai RM2,974,383.33 yang diamanahkan syarikat terbabit di Jalan Genting Kelang, Setapak, antara 25 Jun hingga 16 Oktober 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shakila Mohd Shariff tidak mencadangkan dua tertuduh ini diberi ikat jamin.

"Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, saya memohon jumlah yang tinggi selain syarat tambahan dikenakan ke atas mereka," katanya.

Iklan

Sementara itu, peguam, Carmen Eu Kah Mun yang mewakili kedua-dua tertuduh, merayu kadar ditetapkan pada jumlah yang rendah.

"Saya tidak membantah sekiranya anak guam dikenakan syarat tambahan," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamindan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Jun depan.