Kapal kargo papar dua nama berbeza pada radar ditahan

Iklan
Kapal kargo yang dikesan memaparkan dua nama berbeza di radar ditahan Maritim Malaysia Selangor berhampiran Pulau Che Mat Zin pada Khamis.

PELABUHAN KLANG – Sebuah kapal kargo yang dikesan memaparkan dua nama berbeza di radar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor berhampiran Pulau Che Mat Zin pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, kapal terbabit dikesan kira-kira 0.23 batu nautika timur dari pulau itu sebelum ditahan bot peronda Maritim Malaysia sekitar jam 2 petang semasa rondaan rutin Operasi Ehsan dan Operasi Tiris 3.0 di perairan Selangor.

Iklan
Iklan

"Kapal berkenaan sedang menuju ke Pelabuhan Selatan didapati dalam keadaan mencurigakan selepas sistem Automatic Identification System (AIS) dikesan memaparkan dua nama berbeza menggunakan nombor Maritime Mobile Service Identity (MMSI) yang sama.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati kapal itu dikendalikan seorang nakhoda berusia 63 tahun bersama dua kru masing-masing berusia 26 dan 35 tahun," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Katanya, kesemua individu ditahan merupakan warganegara Malaysia.

"Pemeriksaan mendapati sistem AIS kapal terbabit didapati meragukan dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

Iklan

"Kapal terbabit telah ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor bagi siasatan lanjut," ujarnya.

Menurutnya, Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan negara khususnya perairan Selangor.

"Sebarang aduan, maklumat atau kecemasan di laut boleh dilaporkan menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di 013-660 6652 atau 03-8995 7820," katanya.