KOTA TINGGI – Projek tanaman halia dan cili secara fertigasi menjadi tumpuan utama inisiatif baharu Kementerian Pertahanan, dikenali sebagai Projek JanaVeteran, yang bertujuan membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjana pendapatan berterusan menerusi bidang pertanian.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif JanaVeteran ini dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan Boustead Plantations Berhad (BPlant), yang menyediakan lot tanah pertanian untuk disertai veteran ATM.
Menurut beliau, Projek JanaVeteran memperkenalkan dua program utama iaitu Program Tanaman Halia dan Cili Fertigasi serta Program Usahawan Tani Veteran, yang dirangka khusus untuk membuka peluang keusahawanan dalam bidang pertanian kepada golongan veteran ATM.
"Inisiatif JanaVeteran ini merupakan inisiatif baharu untuk veteran ATM bagi memastikan mereka dapat menambah pendapatan dan tidak bergantung kepada pencen semata-mata.
"Buat permulaan, kita mulakan dengan Projek Tanaman Halia dan Cili Fertigasi sebagai projek rintis yang dimulakan sejak bulan lalu, membabitkan 15 plot fertigasi di atas tanah BPlant seluas 12 hektar di Ladang Telok Sengat, di sini.
"Inisiatif JanaVeteran ini saya minta diperluaskan ke seluruh Kota Tinggi sebelum dikembangkan ke seluruh negara.
"BPlant merancang untuk memperluas kawasan tanaman sehingga 80 hektar melibatkan 52 ladang miliknya di seluruh negara. Inisiatif ini tidak akan mengganggu tanaman kelapa sawit sedia ada, sebaliknya memanfaatkan lebihan tanah untuk diusahakan veteran ATM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Projek JanaVeteran Boustead Plantations Berhad di Ladang Telok Sengat, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi Boustead Plantations Berhad, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Norlizah Noh.
Sebelum itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi meninjau tapak projek rintis JanaVeteran di Ladang Telok Sengat yang ditanam halia, diusahakan bersama 15 veteran ATM kawasan berkenaan dengan bimbingan BPlant.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, bagi memastikan kelangsungan inisiatif JanaVeteran, peserta diberikan kursus dan latihan pertanian selain jaminan pembelian hasil halia secara pukal oleh BPlant.
"Sebagai galakan, peserta akan menerima wang pendahuluan bulanan sebanyak RM2,000 yang akan ditolak daripada keuntungan jualan.
"Pendapatan bersih dianggarkan sekitar RM2,000 sebulan bergantung kepada kualiti hasil, keadaan cuaca dan faktor-faktor lain,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, Kementerian Pertahanan menyasarkan agar inisiatif JanaVeteran yang mengusahakan tanaman halia ini mampu dikembangkan secara komersial di peringkat nasional.
"Kita mahu inisiatif JanaVeteran dan BPlant ini berkembang dan menjadi pengeluar halia utama negara.
"Sasaran ini tidak mustahil kerana tanah seluas 300 hektar milik BPlant boleh digunakan bagi menjayakan inisiatif ini. Malah, BPlant mempunyai makmal penyelidikan untuk merangka teknologi pembenihan terbaik bukan sahaja bagi tanaman halia, tetapi juga cili, pisang dan tanaman hiliran lain yang boleh diusahakan secara komersial,” katanya.