ATAS sambutan luar biasa dan permintaan tinggi daripada peminat, Icon Entertainment mengumumkan bahawa konsert genKRU akan diteruskan ke hari keempat, iaitu pada Ahad, 11 Mei ini.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang berkata, tiket bagi hari ketiga konsert telah habis dijual secara rasmi, dan keputusan untuk menambah satu hari lagi konsert merupakan ‘hadiah’ istimewa daripada pihak penganjur dan kumpulan KRU sendiri.
"Kami amat terharu dengan sambutan yang diberikan. Tiket hari pertama habis dijual dalam masa satu jam, manakala tiket hari kedua habis dalam tempoh 45 minit.
"Ini semua merupakan tanda kasih sayang dan penghargaan peminat kepada ikon trio negara kita. Saya, mewakili Icon Entertainment dan KRU, berasa sangat terharu dan kehilangan kata-kata,” katanya.
Tambah Iman, pihaknya menerima banyak mesej terus (DM) daripada peminat yang memohon agar konsert ditambah sehari lagi di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Justeru, katanya, menjadi tanggungjawab mereka untuk memastikan semua penyokong yang berusaha mendapatkan tiket berpeluang mencipta momen manis bersama Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Yusry dan Edry.
"Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan semua genKRU yang telah berjuang mendapatkan tiket sebelum ini menambah lagi momen mereka bersama kami.
"Untuk mereka yang gagal mendapatkan tiket bagi tiga hari terdahulu, kami mahu semua turut sama menikmati pengalaman maksimum pada konsert hari terakhir itu nanti,” ujarnya.
Sementara itu, Norman yang mewakili dua adiknya berkata, keputusan menambah sehari lagi konsert dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai aspek.
"Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira pelbagai faktor dan memandangkan hari Isnin merupakan cuti umum, ia tidak menyulitkan peminat.
"Kami juga menerima banyak permintaan daripada peminat yang mahu menonton sekali lagi kerana masih belum puas dengan pengalaman sebelum ini,” jelasnya.
Tiket bagi konsert hari keempat yang berharga antara RM588 hingga RM258 telah mula dijual sejak jam 1 petang tadi di laman web https://www.ticket2u.com.my/kruDay4.