ORANG ramai kini berpeluang menonton drama bersiri pendek dalam format video menegak menerusi aplikasi Do Drama yang pertama dibangunkan di Malaysia oleh Drama Byte Sdn Bhd.
Pengarah Drama Byte, Eric Tam berkata, aplikasi yang mempertontonkan drama bersiri Melayu dan Cina melalui skrin peranti mudah alih itu merupakan hasil kreativiti pengarah tempatan yang menyajikan kandungan hiburan menyentuh emosi.
Menurutnya, ia diinspirasikan daripada platform drama pendek di China yang bukan sahaja terbukti berjaya menambat perhatian kerana tempoh masa tayangan singkat, namun membina hubungan emosi terhadap penonton.
"Dengan pelancaran Do Drama, kami bukan sahaja menyediakan aplikasi hiburan semata-mata tetapi memperkenalkan cara baharu bagi rakyat Malaysia untuk menikmati cerita tempatan.
"Sesuai untuk peranti mudah alih, ia memaparkan kepelbagaian cerita merangkumi kisah romantik, drama keluarga, aksi mendebarkan serta ranjau kehidupan bagi penonton yang ingin menyaksikan drama tanpa mengira di mana mereka berada.
"Platform ini mengubah sama sekali bagaimana sebuah cerita boleh disampaikan dan dipertontonkan dengan cara yang pantas, berkesan dan relevan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Pelancaran Do Drama di Aurum Theatre, The Exchange TRX di sini pada Khamis.
Beliau berkata, antara ciri berkenaan ialah sari kata dalam pelbagai bahasa, sistem ganjaran tersedia yang menggalakkan tontonan konsisten dan ulasan pada skrin secara langsung yang membolehkan penonton meluahkan perasaan menerusi komen dalam masa sebenar.
"Disebabkan gaya tontonan semakin berubah, Do Drama bertekad untuk menerajui inovasi kandungan mudah alih, memberi ruang untuk pencipta kandungan tempatan menyampaikan kisah yang lebih singkat dan menarik tanpa ‘mencuri masa’ berharga penonton.
"Pada pelancaran ini, aplikasi ini memperkenalkan lapan drama bersiri pendek yang dihasilkan dengan kerjasama pembikin filem dan bakat kreatif tanah air dengan salah satu yang akan ditayangkan ialah Paku Hatiku, karya arahan Aidilfitri Mohamad Yunos.
"Selain itu, dua lagi siri iaitu Rumah Pusaka dan Magika! Bulan Mengambang dihasilkan oleh Pekin Ibrahim yang turut menampilkan Mona Allen sebagai salah seorang pelakon utama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Eric berkata, Do Drama berada dalam kedudukan yang strategik untuk meneroka pasaran hiburan mudah alih tempatan dengan populasi Malaysia dianggarkan mencecah 35.9 juta pada 2025.
"Dengan penglibatan konservatif sebanyak lima hingga 10 peratus daripada populasi, platform itu berpotensi menjana hampir RM2.1 bilion dalam hasil tahunan berulang melalui langganan dan pembelian tambah nilai.
"Aliran pendapatan yang besar ini mampu merancakkan lagi industri hiburan tempatan yang bukan sahaja mendorong penciptaan kandungan yang lebih pelbagai.
"Tetapi, ia juga membuka lebih banyak ruang dan peluang buat pelakon serta bakat tempatan untuk mendapat pendedahan skrin yang lebih luas dan menyumbang kepada ekosistem berkembang pesat,” katanya lagi.