Empat penyamun diberkas polis

Iklan
Empat suspek yang ditangkap polis kini direman selama tujuh hari.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kumpulan yang aktif melakukan kegiatan samun dan pecah rumah melibatkan tiga negeri di kawasan utara, termasuk Seberang Perai Selatan, Bandar Baharu dan Parit Buntar.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri pada Rabu membawa kepada tangkapan empat lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 34 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesemua suspek ditangkap di empat lokasi berbeza iaitu di Kepala Batas, Bukit Mertajam, Nibong Tebal dan Parit Buntar.

"Hasil siasatan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Iklan

"Dalam operasi tersebut, polis turut merampas empat telefon bimbit pelbagai jenis, sebuah televisyen dan empat buah kenderaan yang digunakan semasa melakukan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.

Antara barang kes yang dirampas daripada suspek.
Empat buah kereta turut dirampas daripada suspek.

Hamzah berkata, semua suspek kini direman selama tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Iklan

Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta dikenakan sebatan.

"Polis Pulau Pinang komited melumpuhkan mana-mana kumpulan atau individu yang terlibat dalam jenayah kekerasan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan aktiviti jenayah diminta menghubungi talian Hotline Bilik Gerakan JSJ Pulau Pinang di nombor 04-222 1624 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.