Sofyank kolaborasi bersama Tom Cruise pula

Iklan
Kerjasama terbaharu dengan Tom Cruise telah membuatkan rakyat Malaysia turut tumpang bangga.

PEREKA kandungan digital dan artis kesan khas popular, Sofyank terus melakar sejarah peribadi apabila berpeluang bertemu dan menjalinkan kerjasama dengan pelakon aksi Hollywood terkenal, Tom Cruise.

Menerusi beberapa perkongsian di akaun Instagram miliknya, Sofyank telah terbang ke Tokyo, Jepun bagi bersama-sama Tom Cruise menyaksikan tayangan perdana filem Mission: Impossible – The Final Reckoning.

Iklan
Iklan

Bukan itu sahaja, pemilik nama sebenar Muhammad Sofian Abdullah, 29, turut diberi peluang emas oleh United International Pictures Malaysia (UIP) dan Paramount Pictures untuk merakamkan video kesan khas (VFX).

"Hai Tom Cruise! Saya sudah menonton filem-filem anda sejak kecil dan karya anda memberi inspirasi kepada ramai pembikin filem di seluruh dunia.

Iklan

"Kami rakyat Malaysia sangat mengagumi hasil kerja anda, aksi-aksi lagak ngeri anda serta usaha yang anda curahkan dalam setiap filem.

Sofyank pernah bekerjasama dengan John Cena.

"Berdiri di sebelah anda (Tom Cruise) pada detik itu benar-benar satu impian seumur hidup yang menjadi kenyataan. Saya tidak pernah membayangkan akan mendapat peluang ini," tulisnya.

Iklan

Dalam hantaran sama, Sofyank turut mengucapkan penghargaan kepada selebriti Hollywood itu kerana bersikap ramah dan menghargai peminat di seluruh dunia.

"Ia benar-benar satu penghormatan dapat bertemu dengan anda. Saya akan menyimpan kenangan ini sebagai memori emas dalam hidup saya. Terima kasih, Tom!" kongsinya.

Perkongsian itu mendapat pujian ramai, termasuk daripada selebriti tempatan yang meluahkan rasa bangga dengan pencapaian luar biasa tersebut.

Kolaboratif bersama Paul Rudd menerusi sempena tayangan filem Ant-Man and the Wasp: Quantumania.

Terdahulu, Sofyank memuat naik beberapa hantaran di media sosial memaklumkan mengenai rancangan untuk menjalani penggambaran kesan khas bersama bintang Hollywood itu.

Sofyank yang dikenali dengan kepakaran suntingan visual dan video ilusi realiti, sering menghasilkan kandungan kreatif berinspirasi Hollywood.

Sebelum ini, Sofyank pernah bekerjasama dengan beberapa selebriti Hollywood seperti Will Smith, Ryan Reynolds, Paul Rudd, Jonathan Majors, Anthony Ramos, John Cena dan artis VFX popular, Zach King.