Taktik lari ke kawasan lumpur elak diberkas imigresen gagal

Iklan
Anggota penguat kuasa JIM sedang memeriksa pekerja kontraktor di sebuah tapak pembinaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada Rabu.

KUALA LUMPUR – Tindakan dua lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai pekerja kontraktor cuba melarikan diri ke kawasan lumpur bagi mengelak diberkas anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) gagal apabila mereka berjaya ditahan dalam satu operasi di sebuah tapak pembinaan kondominium di Jalan Kuching, di sini, pada Rabu.

Kedua-dua lelaki berusia 40-an itu memaklumkan mereka cuba melarikan diri kerana takut setelah melihat kehadiran pihak penguat kuasa JIM dalam serbuan pada jam 10.30 pagi.

Iklan
Iklan

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan terhadap 200 pekerja warga asing dalam Ops Gempur Bersasar itu.

"Hasil pemeriksaan, kita menahan 60 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959.

Iklan

"Kesemua PATI yang ditahan itu berasal dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan India,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan, pada Rabu.

Wan Mohammed Saupee berkata, ketika operasi dijalankan, pihaknya mengesan beberapa PATI cuba melarikan diri serta menyorok di sekitar tapak pembinaan bagi mengelak ditahan oleh penguat kuasa JIM.

Iklan

"Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan melibatkan kecederaan anggota penguat kuasa JIM dan PATI,” katanya.

Menurut beliau, operasi itu dilaksanakan oleh seramai 60 anggota dan pegawai JIM Kuala Lumpur selepas hasil risikan selama seminggu.

"Kita turut menahan seorang majikan di tapak pembinaan bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Wan Mohammed Saupee turut memaklumkan bahawa kesemua warga asing berusia 25 hingga 50 tahun yang ditahan itu dibawa ke pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.


JIM serbu tapak binaan, tahan buruh warga asing, PATI

CYBERJAYA - Sekumpulan warga asing bekerja sebagai buruh di sebuah tapak binaan bertindak agresif bagi melepaskan diri apabila pasukan operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu kawasan tersebut, di sini pada Rabu.

Selain bertindak agresif, buruh warga asing juga cuba melarikan diri ke dalam semak dan bersembunyi di kawasan bangunan. Timbalan Ketua Pengarah JIM (Operasi), Jafri Embok Taha berkata, cubaan warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah dan tinggal lebih masa di negara ini untuk meloloskan diri gagal apabila diberkas pasukan operasi.

Beliau berkata, sebanyak 10 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi tersebut dan majoritinya adalah lelaki.

"PATI yang ditahan adalah warganegara Myanmar, Bangladesh serta Indonesia. Ada yang ditahan ini tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

"Selain itu, ada juga antara mereka yang ditahan ini merupakan pemegang kad UNCHR.

"Kumpulan pekerja ini ditempatkan di rumah kongsi dalam kawasan pembinaan ini," katanya pada Rabu.

Jafri berkata, kesemua yang ditahan akan dibawa ke Ibu Pejabat JIM Putrajaya bagi proses dokumentasi, sebelum dihantar ke Depot Tahanan KLIA.

Kata beliau, antara kesalahan dilakukan adalah tinggal lebih masa, tiada dokumen sah berada di negara ini, salah guna Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) serta kerja tanpa pas sah.

Bagi tangkapan PATI bermula awal tahun ini sehingga Selasa, beliau berkata, JIM telah mengambil tindakan ke atas 30,993 individu warga asing.

Selain itu katanya, sejumlah 634 orang majikan telah dikenakan tindakan kerana menggaji dan melindungi PATI bagi tempoh 1 Januari hingga 6 Mei 2025."Kita sememangnya tegas dan komited dalam memburu PATI serta majikan yang menggaji warga asing tanpa pas sah.

"Malah JIM juga tidak teragak-agak mengenakan tindakan ke atas majikan yang melanggar peraturan negara termasuk menggantung kuota pengambilan pekerja mereka atau tindakan sivil," tegasnya.