IPOH - Tindakan sindiket menyimpan minyak diesel bersubsidi di kawasan terpencil bagi mengaburi pihak berkuasa terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak menyerbu sebuah stor haram di Kampung Kepayang dekat Simpang Pulai pada Selasa.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan Op Tiris dilakukan sekitar jam 12 tengah hari hasil maklumat risikan dan pemantauan selama seminggu oleh penguat kuasa bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di kawasan Ipoh.
"Modus operandi sindiket adalah dengan cara membeli diesel dari pembekal yang tidak berlesen dan menyimpan diesel di stor haram di Kawasan Perindustrian Tungzen di sini.
"Sindiket ini kemudiannya akan menjual kepada pihak industri di sekitar Ipoh pada kadar harga yang lebih murah dari harga semasa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, ketika pemeriksaan dilakukan, pasukan serbuan telah menjumpai sebanyak 1,800 liter cecair yang disyaki minyak diesel di premis tersebut.
"Seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori didapati gagal untuk mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal.
"Tindakan sita 1,800 liter cecair disyaki minyak diesel, dua tangki Intermediate Bulk Container (IBC), sebuah lori dilakukan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM55,270.
"Kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan berjadual minyak diesel tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan," katanya.