Pakistan dakwa lima jet pejuang India ditembak jatuh

Iklan
Penduduk tempatan dan wakil media memerhati keadaan sebuah bangunan yang rosak teruk akibat serangan peluru berpandu dipercayai dilancarkan oleh India, berhampiran Muzaffarabad, ibu negeri Kashmir yang ditadbir Pakistan. - Foto: MD Mughal / AP

ISLAMABAD – Ketegangan antara dua kuasa nuklear Asia Selatan semakin memuncak apabila kerajaan Pakistan mendakwa telah menembak jatuh lima jet pejuang milik India, susulan serangan udara oleh New Delhi ke atas beberapa lokasi di wilayah Pakistan dan Kashmir yang ditadbir Islamabad, awal pagi Rabu.

Menurut kenyataan rasmi kerajaan Pakistan pada Rabu malam, kelima-lima pesawat India itu ditembak jatuh selepas didakwa menceroboh ruang udara Pakistan dalam apa yang digambarkan sebagai tindak balas kepada serangan peluru berpandu yang dilancarkan oleh India ke atas wilayah berkenaan.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, pihak tentera Pakistan hanya mengesahkan dua jet India ditembak jatuh, namun angka tersebut dinaikkan kepada lima berdasarkan maklumat baharu yang diterima daripada sumber keselamatan.

"Serangan ini merupakan pencerobohan yang tidak boleh diterima. Kami telah bertindak balas dengan sewajarnya di darat dan di udara. Kedaulatan negara kami bukan untuk digadai,” tegas Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif dalam satu wawancara bersama Bloomberg.

Iklan

Setakat laporan ini ditulis, kerajaan India belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai dakwaan tersebut.

Bagaimanapun, seorang pegawai keselamatan India yang enggan dikenali memaklumkan kepada agensi berita Reuters bahawa sebuah pesawat pejuang India telah terhempas di wilayah Kashmir yang ditadbir New Delhi, dan juruterbangnya sedang dirawat di hospital.

Iklan

Ketegangan terbaru ini tercetus susulan serangan maut terhadap pelancong di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India, pada 22 April lalu yang mengorbankan 26 orang termasuk seorang warga Nepal.

New Delhi menuduh militan berpangkalan di Pakistan sebagai dalang serangan tersebut, namun Islamabad menafikan sekeras-kerasnya penglibatan mereka.

Susulan kejadian itu, India melancarkan Operasi Sindoor dengan menyerang sembilan lokasi yang didakwa sebagai kem latihan pengganas.

Namun, Pakistan menyifatkan tindakan India itu sebagai"serangan tidak berasas dan melampau”, malah menyamakan tindakan tersebut sebagai satu"perisytiharan perang”.

Setakat ini, sekurang-kurangnya lapan orang awam termasuk dua kanak-kanak dilaporkan terkorban dalam serangan peluru berpandu India, menurut jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry.

Masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Amerika Syarikat telah menggesa kedua-dua negara agar bertenang dan mengelakkan konflik bersenjata yang boleh menggugat kestabilan serantau.