KUANTAN - Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah di Taman Mahkota Permai, Jalan Gambang di sini tanpa pengetahuan keluarga pada Selasa.
Putri Alya Husna Mohd Jabar disedari hilang oleh bapanya yang berusia 40 tahun kira-kira jam 3 pagi selepas mendapati remaja itu tiada di rumah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, kali terakhir pengadu melihat anak perempuannya itu ialah kira-kira jam 10.30 malam pada Isnin semasa sedang makan di rumah, sebelum disedari hilang awal pagi hari berikutnya.
Menurutnya, ekoran kejadian itu, pengadu yang bekerja sebagai pemandu lori tampil membuat laporan polis pada jam 10.15 malam kerana bimbang akan keselamatan anaknya itu.
"Pengadu agak lewat membuat laporan polis kerana beranggapan anaknya akan pulang.
"Mangsa yang sudah tidak bersekolah juga dikatakan keluar rumah tanpa membawa telefon bimbit," katanya.
Wan Zahari berkata, berdasarkan laporan, pengadu dan isterinya tidak pernah mempunyai masalah atau bertengkar dengan mangsa.
"Mangsa juga dikatakan pernah keluar rumah sebelum ini tetapi tetap pulang," katanya.
Tambah beliau, ciri-ciri mangsa ialah berkulit cerah, ketinggian kira-kira 160 hingga 165 sentimeter, rambut lurus paras pinggang berwarna hitam, berbadan kurus, muka bersih dan tiada parut.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau terlihat kelibat remaja ini diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.