Rapatkan jurang gaji, kos sara hidup

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin mengenai syor gaji minimum disemak setiap tahun.

CADANGAN agar semakan gaji minimum dilakukan setiap tahun adalah saranan yang wajar diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Hakikatnya, rakyat Malaysia hari ini berdepan realiti hidup yang semakin mencabar.

Iklan
Iklan

Walaupun kadar gaji minimum telah dinaikkan kepada RM1,700, ia masih belum cukup untuk menampung keperluan asas bulanan, apatah lagi bagi mereka yang tinggal di bandar besar.

Walaupun kenaikan gaji minimum daripada RM1,500 pada 2022 kepada RM1,700 pada 2025 adalah signifikan dan pematuhan majikan pada tahap memberangsangkan, hakikatnya ramai pekerja masih"kais pagi makan pagi, kais petang makan petang", bergelut untuk menampung perbelanjaan asas keluarga.

Iklan

Justeru, cadangan disuarakan oleh Penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) agar kerajaan mewajibkan semakan gaji minimum secara tahunan perlu diberikan perhatian yang sewajarnya.

Laporan terkini Panduan Belanjawanku 2024/2025 menunjukkan seorang individu bujang di Lembah Klang memerlukan sekurang-kurangnya RM1,970 sebulan jika menggunakan pengangkutan awam, dan RM2,800 jika memiliki kenderaan sendiri.

Iklan

Untuk pasangan berkahwin dengan dua anak pula, jumlah minimum yang diperlukan ialah RM7,440 sebulan.

Angka ini jelas menunjukkan masih ramai pekerja Malaysia memiliki gaji yang jauh daripada paras keperluan sebenar untuk hidup selesa.

Jurang antara gaji dan kos sara hidup bukan lagi isu baharu. Ia telah berlarutan terlalu lama dan kini perlu ditangani dengan dasar yang lebih responsif dan progresif.

Negara-negara seperti Belgium, Perancis dan Poland sudah lama mengamalkan sistem pelarasan gaji berdasarkan indeks inflasi.

Di Australia pula, gaji minimum ditentukan oleh badan bebas, sekali gus menjadikan dasar itu lebih telus dan berlandaskan data semasa.

Malaysia tidak boleh terus selesa dengan semakan gaji dua tahun sekali. Inflasi makanan, urbanisasi dan kejutan ekonomi global kini berlaku dengan pantas.

Justeru, pelarasan gaji juga perlu disegerakan.

Pada masa sama, semakan gaji juga hendaklah seimbang dan tidak tertumpu kepada golongan bawahan semata-mata, perlu juga melihat kepada kategori-kategori lain.

Semakan tahunan gaji minimum bukan hanya munasabah, ia satu keperluan demi memastikan kesejahteraan pekerja terus terbela.