ISKANDAR PUTERI – Pemandu van sekolah yang ditahan berhubung kes seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun tidak sedarkan diri di dalam kenderaan itu di Taman Bukit Indah di sini minggu lalu, akan didakwa pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, suspek lelaki tempatan berusia 56 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Sesyen Batu Pahat.
"Sebelum ini suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 1 Mei lalu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian dan kecuaian terhadap kanak-kanak,” katanya.
Pada 1 Mei lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah van sekolah selepas dipercayai tertinggal dalam kenderaan itu selama hampir lima jam di Taman Bukit Indah, tengah hari Rabu.
Kumarasan berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam van berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari.
Jelasnya, mangsa yang bersekolah di sebuah tadika di Taman Bukit Indah dikatakan menaiki van dari kediaman keluarganya sebelum tiba di hadapan tadika sekitar jam 7.30 pagi.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu van sekolah di kawasan Taman Bukit Indah pada jam 2.40 petang hari yang sama.