KUALA LUMPUR – Tindakan tiga lelaki mengedar dadah seberat 32.6 kilogram, enam tahun lalu mengundang padah apabila dihukum penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap S Uvaraja, 48, R Kalaikumar, 40, dan K Paarthiban, 38, di akhir kes pembelaan.
"Mahkamah memerintahkan semua tertuduh dipenjara bermula dari tarikh tangkap pada 18 Jun 2019," kata Hakim, Azhar.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya iaitu methampetamine seberat 32,682.4 gram di parkir kereta sebuah kondominium di Jalan Desa Pandan di sini, pada jam 5.35 petang, 18 Jun 2019.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Sementara itu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun terhadap Uvaraja selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki 0.15gram dadah jenis Methlenedioxymethamphetamine; 0.003gram Heroin dan 0.007gram Monoacetylmorphines, di lokasi dan tarikh yang sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.