JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Singapura dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas lima pertuduhan memiliki dan mengedar pelbagai jenis dadah dengan berat lebih 10 kilogram (kg) di Danga Bay, bulan lalu.
Pertuduhan terhadap Tan Ban Choon, 47, dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim namun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, Tan didakwa mengedar dadah jenis serbuk 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat lebih 10 kg.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 kali, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan empat lagi pertuduhan memiliki dadah jenis heroin seberat 9 gram (g), kanabis (44g), serbuk MDMA (6g) dan ketamin seberat 31g di lokasi, tarikh dan masa yang sama iaitu sekitar jam 10 malam, pada 23 April lalu.
Pertuduhan bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Manakala, bagi kesalahan memiliki kanabis pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6 akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun serta tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 29 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan kimia.