TEMERLOH – Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor menafikan dakwaan bahawa dirinya adalah wanita yang tular memarahi seorang penghantar makanan sehingga mencetuskan kemarahan warganet baru-baru ini.
Menurutnya, dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan merupakan satu bentuk fitnah yang boleh mencemarkan nama baik serta imejnya sebagai wakil rakyat.
"Memang terkejut apabila ada warganet yang komen saya ialah wanita terbabit, dan saya ingin tegaskan di sini bahawa wanita dalam video itu bukan saya,” katanya.
Sebelum ini, tular sebuah klip video melibatkan seorang penghantar makanan wanita dikenali sebagai Elya Natasha di Facebook, yang dimarahi oleh seorang wanita lain di Taman Temerloh Jaya di sini pada Jumaat.
Penghantar makanan itu mendakwa telah membuat panggilan telefon namun tidak dijawab, lalu membunyikan hon di hadapan rumah terbabit dan membuat rakaman video selepas dimarahi wanita tersebut yang dipercayai seorang guru.
Jelas Salamiah, beliau mengetahui mengenai isu tersebut selepas video berkenaan tersebar luas di media sosial.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan tanpa usul periksa kerana ia boleh membawa kepada penyebaran fitnah dan menjatuhkan maruah individu.
"Saya juga meminta mereka yang terlibat membuat komen sebegini memohon maaf kerana ia merupakan tuduhan tidak berasas. Saya pun bukan lagi seorang guru dan telah bersara lebih lima tahun,” tambahnya.