KUALA TERENGGANU – Empat beradik dari Kampung Sri Medang, Besut yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri akhirnya menarik nafas lega selepas menerima sijil daftar lewat kelahiran hasil bantuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu.
Kesemua mereka yang berusia antara 10 hingga 17 tahun tidak pernah didaftarkan kelahiran sejak dilahirkan akibat pelbagai kekangan, termasuk masalah dokumentasi perkahwinan ibu bapa dan kerap berpindah.
Penyerahan sijil tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Badrul Hisham Alias kepada bapa mereka, Ahmad Zamri Abdul Ghafar, 52, dalam satu majlis di pejabat JPN Terengganu pada Isnin.
Menurut Ahmad Zamri, beliau berdepan pelbagai kekangan sejak sekian lama sehingga tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak-anaknya dalam tempoh yang ditetapkan.
"Saya akui ada kelemahan di pihak saya, tetapi saya sangat bersyukur apabila pihak JPN sudi membantu.
"Selama ini kami buntu kerana anak-anak tidak boleh bersekolah secara rasmi dan tiada akses kepada rawatan kesihatan,” katanya.
Empat anaknya yang menerima dokumen pengenalan diri itu ialah Muhammad Haikal, 17; Muhammad Hakimie, 15; Muhammad Hafiz, 13; dan Nur Alia, 10.
Program tersebut turut disertai Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem; wakil Pejabat Pendidikan Negeri; serta pemimpin masyarakat setempat.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan menerusi Program MEKAR Didik yang dilancarkan pada 17 November 2024.
Ia merupakan kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan JPN bagi membantu pelajar tanpa dokumen seperti sijil kelahiran, kad pengenalan (MyKad) dan sijil kewarganegaraan.
JPN dalam kenyataan turut menasihatkan ibu bapa agar tidak memandang ringan mengenai pendaftaran kelahiran dan sentiasa cakna terhadap tempoh yang ditetapkan, iaitu 60 hari bagi Semenanjung dan 14 hari untuk Sabah serta Sarawak.
"Kegagalan mendaftar kelahiran akan menyukarkan akses kepada pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan asas lain,” kata kenyataan itu.