PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Polis mengesahkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang ditemukan lemas dan tidak sedarkan diri dalam kolam buatan di Presint 17, di sini pada Isnin meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa meninggal dunia di Hospital Putrajaya jam 6.20 petang.
"Proses bedah siasat akan dijalankan pada esok (Selasa) jam 8.00 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pihaknya menerima makluman awal daripada orang awam jam 5.12 petang menyatakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun disyaki lemas dalam kolam buatan di Presint 17, berdekatan jejambat Presint 17 menghala Apartmen Kasturi.
Kata beliau, kanak-kanak lelaki tersebut berjaya dijumpai oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut.
"Pemeriksaan telah dijalankan oleh doktor bertugas dan mengesahkan kanak kanak tersebut telah meninggal dunia," ujarnya.
Sebelujm itu, Pemangku Penolong Pengarah Operasi JBPM Wilayah Persekutuan Putrajaya, TPgB II Yusrizan Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.17 petang yang menyatakan seorang kanak-kanak lemas dalam kolam tersebut, berhampiran jejambat Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Kasturi.
Beliau berkata, susulan itu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Presint 14 telah dikejarkan ke lokasi kejadian.