SEREMBAN - Seorang pemilik kamera papan pemuka (dashcam) yang merakam kejadian pemandu van melanggar lampu isyarat merah sehingga meragut nyawa seorang penunggang motosikal di persimpangan Matahari Height, di sini, pada Sabtu telah tampil memberikan keterangan.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, lelaki berusia 20 tahun itu telah hadir ke balai polis pada Ahad bagi membantu siasatan.
"Seorang pemilik video dashcam sudah tampil ke balai polis bagi membantu siasatan kes kemalangan berlaku.
"Terima kasih kepada pengguna jalan raya ini kerana segera hadir memberikan kerjasama semalam. Kami sudah ambil keterangan mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Tambahnya, mana-mana orang awam atau saksi bebas juga boleh tampil memberikan kerjasama bagi membantu siasatan dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Mengulas mengenai pemandu van yang berusia 44 tahun itu, Mohamad Hatta berkata, lelaki itu telah direman empat hari bermula semalam dan saringan alkohol serta ujian urinnya adalah negatif.
"Lelaki ini adalah pemandu van milik syarikat dan kenderaan dipandunya bukan milik persendirian.
"Jadi dengan kerjasama pemilik video dashcam ini kami harap dapat menuduh pemandu van dalam masa terdekat," katanya.
Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam Sabtu itu, kemalangan berlaku apabila sebuah van jenis Toyota Hiace dipandu lelaki bersama seorang penumpang wanita berusia 20 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Bahau.
Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu van dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat warna merah lalu melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
Akibatnya, seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi.