OUAGADOUGOU – Nama Kapten Ibrahim Traore mungkin masih baharu dalam arena politik global, namun di tanah tumpah darahnya Burkina Faso, beliau kini disanjung sebagai wira rakyat dan simbol kebangkitan Afrika bebas penjajahan.
Dilahirkan pada tahun 1988 di bandar kecil Bondokuy, barat Burkina Faso, Traore berasal daripada keluarga biasa.
Bapanya seorang guru manakala ibunya suri rumah dan sejak kecil, beliau dikenali sebagai anak yang cerdas serta berjiwa patriotik.
Kehidupan awal
Traore melanjutkan pengajian dalam bidang geologi di Universiti Ouagadougou, namun beliau lebih berminat kepada khidmat negara.
Tidak lama selepas tamat belajar, beliau menyertai akademi ketenteraan negara dan mula meniti kerjaya sebagai pegawai tentera.
Traore pernah berkhidmat dalam beberapa misi penting di luar negara, termasuk dalam misi pengaman di Mali di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pengalamannya menyaksikan penderitaan rakyat akibat konflik memperkukuh tekadnya untuk pulang dan berbakti kepada tanah air sendiri.
Rampasan kuasa
Pada 30 September 2022, ketika krisis keselamatan dan politik menggoncang Burkina Faso, Traore memimpin rampasan kuasa ke atas pemerintah sementara, Leftenan Kolonel Paul-Henri Damiba yang gagal mengekang ancaman militan.
"Saya bukan tamakkan kuasa. Saya bangkit kerana negara kita sedang tenat,” katanya dalam ucapan pertamanya di Dataran Revolusi, Ouagadougou.
Ketika itu, beliau berikrar mahu memulihkan semula keselamatan negara dan menamatkan dominasi kuasa luar, khususnya Perancis, bekas penjajah yang telah lama berpengaruh dalam politik Burkina Faso.
Di bawah pemerintahannya, tentera Perancis diusir keluar dan Ouagadougou menamatkan kerjasama ketenteraan dengan Paris.
Kukuh hubungan luar
Beliau turut memperkukuh hubungan dengan jiran seperti Mali dan Niger serta membuka ruang kerjasama baharu dengan Rusia.
Traore juga melancarkan reformasi ketenteraan dalaman termasuk melatih lebih 50,000 sukarelawan rakyat bagi memerangi militan.
Strategi itu dilihat sebagai langkah berani dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi pertahanan negara.
Sikapnya yang tegas, lantang dan tidak tunduk pada tekanan luar menjadikan beliau figura yang digeruni oleh musuh dan dihormati oleh rakan serantau.
Traore diberi julukan 'Singa Faso' iaitu simbol kebangkitan bangsa yang pernah dijajah.
Namun, beliau berdepan kritikan pemerhati hak asasi manusia kerana menangguhkan pilihan raya dan memerintah melalui junta.
Namun, Traore mempertahankan keputusannya sebagai langkah sementara demi kestabilan dan keselamatan negara.
Biarpun masih muda, kepimpinannya memberi inspirasi kepada generasi baharu pemimpin Afrika yang menolak sistem lama dan berani mencipta jalan sendiri untuk kemajuan.
Bagi penduduk Burkina Faso, beliau bukan sekadar pemimpin, tetapi memberi harapan baharu dan memahami derita rakyat serta sanggup berjuang di barisan hadapan untuk membela nasib mereka.
"Jika kita tidak sanggup berjuang demi negara kita, siapa lagi?” katanya. - Agensi