SHAH ALAM - Isu buli pelatih kategori Orang Kurang Upaya (OKU) di GiatMara Alor Gajah, Durian Tunggal, Melaka yang tular di media sosial baru-baru ini akhirnya mendapat respons daripada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf Wajdi berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut merupakan gurauan kasar sesama pelatih sewaktu latihan di GiatMara Alor Gajah dahulu dan kini kesemuanya sedang menjalani Latihan Industri (LI) dalam bidang Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam.
Justeru, menurut beliau, pihaknya telah menghubungi dan meminta ketua pegawai eksekutif GiatMara untuk mengambil tindakan segera berhubung kejadian tidak berperikemanusiaan itu.
"Saya dimaklumkan bahawa pengurusan GiatMara Melaka akan panggil dan berjumpa dengan kesemua individu dalam video pada hari esok (Isnin) termasuk pelatih yang menjadi mangsa untuk siasatan terperinci mengikut prosedur pengurusan pelatih sedia ada.
"Tiada maaf bagi pembuli apatah lagi buli OKU. Apa jua alasan termasuk gurauan tidak boleh diterima dan tindakan tegas pasti diambil!" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Pada Jumaat lalu, tular satu video memaparkan pelatih GiatMara Alor Gajah yang juga pemegang kad OKU menjadi mangsa buli dan berdepan kejadian tidak menyenangkan.
Menurut perkongsian pengguna TikTok @masdo21, antara perlakuan buli yang dihadapi rakannya adalah muka dibaling dengan botol air ketika tidur, motosikal disorok dan disimpan dalam sangkar dan banyak lagi.
Asyraf Wajdi konsisten menegaskan, tiada kompromi terhadap individu yang melakukan perbuatan membuli dalam apa jua bentuk sama ada fizikal mahupun mental di mana-mana institusi di bawah seliaan Mara.
"Pengurusan Mara di semua peringkat dan Institusi Pendidikan Mara (IPMA) amat memahami prinsip saya ini.
"Tindakan paling tegas pasti akan diambil oleh pihak pengurusan jika didapati wujud salah laku dan jenayah buli tersebut," ujarnya lagi.