PONTIAN – Remaja lelaki yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu disahkan meninggal dunia selepas mayatnya ditemui terapung di perairan Pulau Pisang di sini, pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, mayat mangsa ditemui oleh seorang nelayan kira-kira jam 10.40 pagi.
"Pengecaman dilakukan oleh kedua-dua ibu bapanya di Hospital Pontian. Bedah siasat mengesahkan mangsa ialah individu yang dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Sebelum itu, mangsa dilaporkan hilang selepas keluar berjoging dari rumahnya di Taman Benut Jaya kira-kira jam 8 pagi, 28 April lalu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa kali terakhir dilihat berhampiran perhentian bas di Benut, memakai baju berwarna biru dan seluar hitam.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut digerakkan di sekitar Sungai Benut dan Sungai Pinggan sebelum mayat ditemui pada Ahad.