SEREMBAN - Pemilik kamera papan pemuka (dashcam) yang merakam kemalangan yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Jalan Persiaran Senawang 1 di sini, lewat tengah malam pada Sabtu diminta tampil bagi membantu siasatan polis.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kerjasama pemilik dashcam penting bagi melengkapkan proses siasatan.
"Kita meminta kerjasama pemilik dashcam serta mana-mana saksi kejadian untuk tampil ke balai bagi membantu siasatan.
" Individu yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau turut mengesahkan yang ujian kandungan alkohol terhadap pemandu van adalah negatif dan telah direman empat hari bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu, kemalangan berlaku apabila sebuah van jenis Toyota Hiace dipandu lelaki berusia 44 tahun bersama seorang penumpang perempuan berusia 20 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Bahau.
"Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu van dipercayai telah gagal berhenti di lampu isyarat warna merah lalu melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.
"Akibatnya, seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala telah meninggal dunia di lokasi," katanya.
Video dashcam sebuah kenderaan yang tular di media sosial memaparkan van terbabit melanggar lampu isyarat merah lalu merempuh motosikal mangsa.
Turut tular video seorang wanita dipercayai ibu mangsa meraung melihat anaknya tidak bernyawa selepas maut dirempuh.