PENJAGA gol Al-Ahli, Edouard Mendy menyifatkan kejayaan menjuarai Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) buat kali pertama sebagai pencapaian bermakna buat dirinya dan kelab selepas menewaskan Kawasaki Frontale 2-0 dalam perlawanan akhir di Stadium King Abdullah Sports City.
Gol menerusi Galeno pada minit ke-35 dan tandukan Franck Kessie tujuh minit kemudian memastikan gelaran bersejarah milik kelab Arab Saudi itu, sekali gus menamatkan penantian kali terakhir muncul di pentas akhir pada 2012.
"Kami amat berbangga. Sejak diumumkan kejohanan ini berlangsung di Jeddah, misi kami jelas menjuarai trofi di hadapan penyokong sendiri...
"Saya datang ke sini untuk mencipta sejarah, dan kejayaan ini menjadi bukti komitmen kami,” kata Mendy.
Al-Ahli sebelum itu menguasai perlawanan dengan barisan bintang dunia seperti Roberto Firmino, Riyad Mahrez dan Ivan Toney.
Firmino memainkan peranan utama selaku perancang bagi kedua-dua jaringan, manakala Mendy cemerlang di gawang dengan beberapa aksi penyelamatan penting.
Kawasaki hampir merapatkan kedudukan melalui percubaan Tatsuya Ito dan Sai van Wermeskerken, namun gagal menembusi pertahanan ampuh Al-Ahli.
Kejayaan itu menjadikan Al-Ahli kelab ketiga dari Arab Saudi merangkul trofi kelab tertinggi Asia, selepas Al-Ittihad dan Al-Hilal.
Sebagai rekod, Al-Ahli mara ke final selepas menewaskan Al-Hilal 3-1 manakala Kawasaki Frontale pula menjinakkan Al-Nassr 3-2.