DI BALIK wajah manis yang sentiasa menguntum senyum, tersimpan seribu satu rasa dalam hati seorang Nina Iskandar.
Rindu yang bertahun dipendam terhadap dunia lakonan itu tidak pernah mati, cuma kini, keutamaan itu sudah beralih demi satu anugerah terindah — anak kecil yang menjadi nadi kehidupannya, Aaryan Ar-Rizqin, 5 tahun.
"Dunia lakonan adalah minat saya. Saya masih terbuka untuk berlakon, cuma sebagai ibu saya tidak betah untuk berpisah lama dengan anak.
"Lagipun saya tahu komitmen untuk menjayakan sesebuah watak terutama watak utama sangat tinggi. Perlukan 14 hingga 16 jam waktu di set, korbankan waktu tidur, masa bersama keluarga.
"Dulu, boleh saja saya terbang ke mana-mana. Tapi sekarang, setiap keputusan bukan lagi tentang saya... ia tentang dia,," ujar Nina.
Nina berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu keluarannya iaitu serum penjagaan bibir, Skandarl.
Ditebak mengenai kemungkinan sudah dilupakan peminat industri hiburan tanah air, anak kelahiran negara Brunei itu tidak menafikannya.
Walau begitu, pemilik nama sebenar Nur Akmalina Iskandar itu tidak pernah memadam hasratnya untuk kembali ke dunia seni. Sekali-sekala, dia tetap mahu menyambung cinta lamanya pada lakonan, dengan pertimbangan yang lebih rapi.
"Saya perlukan perancangan rapi untuk kembali ke Malaysia jika ada tawaran. Jika nak bawa anak berpindah bersama ke sini, semuanya perlu perancangan," tuturnya.
Di tengah perjalanan baru ini, Nina juga akhirnya mengakui satu hakikat yang sudah lama berlegar di sekelilingnya iaitu status dirinya sebagai ibu tunggal.
Dengan ketenangan seorang wanita yang telah berdamai dengan takdir, Nina membuka cerita:"Saya dan bekas suami sudah berpisah sejak 2022, cuma secara rasmi pada akhir tahun lalu. Kami berpisah secara baik, tiada pihak ketiga, cuma sudah tidak sehaluan. Kami fikir apa yang terbaik untuk Rizqin. Tidak mahu dia membesar dalam persekitaran yang tidak sihat."
Tiada drama. Tiada sengketa. Hanya dua jiwa yang memilih untuk berbahagia dengan cara masing-masing.
Bagi Nina, gelaran ‘janda’ bukanlah noktah dalam hidupnya. Sebaliknya, ia adalah babak baharu yang mengajar erti kekuatan, kematangan, dan cinta tanpa syarat.
"Cerai bukan sesuatu yang buruk. Mungkin ia lebih baik untuk kami. Saya rasa anak pun memahami. Dia tahu bapanya di Malaysia.
"Sekiranya ada masa terluang, mereka akan berhubung menerusi panggilan video. Malah saya juga masih mengikuti bekas suami bersama anak ke rumah saudara-maranya baru-baru ini," jelasnya.
Nina dan bekas suaminya iaitu Mohd Azlan atau lebih dikenali sebagai Lan Lebah memilih untuk membesarkan Rizqin bersama-sama, penuh harmoni dan saling menghormati.
Sekadar info, mereka mendirikan rumah tangga pada April 2019.
Ceburi dunia perniagaan
Dalam pada itu, semangat Nina tidak pernah luntur. Dia melangkah ke dunia baru - dunia perniagaan.
Sejak pandemik, Nina sudah mula menceburi beberapa bisnes kecil. Hasrat untuk mengeluarkan jenama sendiri sentiasa ada, cuma waktu dan keyakinan belum mengizinkan.
"Ada hasrat nak keluarkan jenama sendiri tapi keyakinan itu tiada. Saya fikir, kalau nak hasilkan kosmetik, ia bukan sekadar satu produk. Saya sasarkan keluar serum bibir; ringkas tetapi berkesan.”
Baginya, Skandarl bukan sekadar kosmetik. Ia lahir daripada keperluan sebenar wanita.
Nina akui, dia cerewet dalam memilih kualiti produk. Setiap formula, setiap bahan diuji dengan teliti.
"Bukan sekadar mahu menjual kosmetik. Saya mahu merawat, ramai suka pakai gincu, tetapi tak jaga kesihatan bibir. Gincu boleh buat bibir gelap. Saya nak keluarkan sesuatu yang menaikkan seri, tetapi juga merawat," jelasnya.
Dalam setiap langkah, Nina sedar perjalanan ini tidak mudah. Ada ketakutan, ada kegusaran. Namun seperti wanita-wanita hebat yang menginspirasikannya, Nina percaya bahawa kejayaan bukanlah hadiah percuma, ia adalah hasil kerja keras, doa, dan kesabaran yang tidak berbelah bahagi.