SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menekankan pencapaian gaji melebihi keperluan asas bagi menyokong taraf hidup dan keselamatan kewangan jangka panjang sebagaimana disarankan inisiatif GEAR-uP di bawah Ekonomi Madani.
KWSP dalam kenyataan berkata, usaha mencapai gaji sara hidup itu disokong oleh pihaknya melalui Panduan Belanjawanku yang memberikan rujukan praktikal kepada isi rumah untuk capai taraf hidup wajar.
"Kami juga terus menyokong reformasi yang mengukuhkan kesiapsiagaan persaraan antaranya mempromosikan celik kewangan, menggalakkan penambahan simpanan secara sukarela dan membantu dasar yang memperluaskan pekerjaan formal, terutamanya dalam kalangan pekerja sektor rentan serta tidak formal.
"Langkah itu sejajar dengan tujuan dan misi kami untuk membina masa depan persaraan yang lebih baik untuk Malaysia dan membantu ahli mencapai pendapatan persaraan yang selesa,” kata kenyataan itu.
Menurut KWSP, latihan, pemerkasaan semula kemahiran dan perkhidmatan penempatan pekerjaan memainkan peranan penting dalam memastikan pekerja dapat beralih ke peranan baharu dengan lancar serta kekal berdaya saing.
Katanya, inisiatif yang mengukuhkan perlindungan sosial dan menggalakkan pemformalan pekerjaan, khususnya bagi pekerja sektor tidak formal, wanita dan belia yang kurang bekerja, adalah penting bagi pertumbuhan yang saksama.
"Di luar pendekatan kawal selia yang digariskan dalam Perintah Gaji Minimum, mencapai keseimbangan yang mampan antara pendapatan dan kos sara hidup memerlukan penyelesaian terhadap isu struktur seperti keselamatan pekerjaan, produktiviti, serta kemahiran.
"Dasar pasaran buruh aktif (ALMP) memainkan peranan penting dalam proses ini. Apabila pasaran buruh berkembang dengan pendigitalan dan automasi, meningkatkan keupayaan penyesuaian tenaga kerja dan menyokong pembelajaran sepanjang hayat adalah penting terutamanya bagi sektor rentan,” ujarnya.
Kata kenyataan tersebut, inisiatif bagi melindungi pendapatan isi rumah daripada inflasi dan memastikan barang serta perkhidmatan asas kekal mampu milik juga perlu dilaksanakan oleh kerajaan terutama bagi golongan berpendapatan rendah.