SHAH ALAM - Pertikaian antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan kerajaan Sarawak berkaitan hak pengedaran dan pemprosesan gas yang didakwa dilakukan secara haram oleh syarikat minyak negara mampu memberi kesan besar kepada sosial, politik, dan ekonomi.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sentimen rakyat Sarawak terhadap kerajaan Persekutuan boleh terjejas jika tidak ditangani secara bijaksana, terutamanya apabila wujud persepsi bahawa hak-hak negeri tidak dihormati.
"Tindakan Petronas yang dikatakan melanggar undang-undang negeri seperti Ordinan Pengagihan Gas 2016 menambah ketidakpuasan, terutamanya apabila jurang komunikasi ketara antara Putrajaya dan Kuching,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pada Jumaat, Petronas mengesahkan anak syarikatnya, Petronas Carigali Sdn Bhd, menerima notis daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak berkaitan pemprosesan serta pengedaran gas yang didakwa dilakukan secara haram.
Bagaimanapun, Petronas menjelaskan bahawa syarikat tersebut diberi kuasa di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 untuk menjalankan aktivitinya mengikut undang-undang yang terpakai.
Awang Azman berkata, sentimen rakyat boleh berkembang menjadi tekanan untuk menuntut lebih banyak desentralisasi yang wajar ditangani dengan penuh kebijaksanaan oleh kepimpinan nasional.
Menurutnya, pertikaian itu juga mencetuskan semangat kenegerian yang semakin kuat dalam kalangan rakyat Sarawak, yang merasakan diri mereka telah lama terpinggir dalam hal berkaitan ekonomi dan sumber asli sejak tahun 1963.
Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut menggunakan isu terbabit sebagai naratif strategik untuk mengukuhkan sokongan rakyat menjelang pilihan raya.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha memperlihatkan ketegasan Sarawak dalam mempertahankan haknya berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO), sekaligus menuntut semula kuasa kawal selia daripada kerajaan pusat.
Ujarnya, dari sudut politik nasional, isu terbabit akan menguji sejauh mana Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dapat mengimbangi kehendak autonomi Sarawak dan kestabilan Persekutuan.
Tambahnya, kelewatan menyelesaikan isu tersebut juga boleh menjejaskan hubungan baik antara Sarawak dan kerajaan pusat, bahkan berisiko mencetuskan krisis keyakinan atau perebutan kuasa di peringkat Persekutuan.
Awang Azman turut memberi amaran bahawa pertikaian itu boleh menjejaskan reputasi Malaysia dalam kalangan pelabur asing seperti ConocoPhillips dari Amerika Syarikat kerana menggambarkan ketidakstabilan dasar sektor tenaga negara.
Justeru, beliau mencadangkan penubuhan National Petroleum Reconciliation Council yang dianggotai wakil teknokrat negeri dan pusat untuk merangka model kerjasama baharu berdasarkan semangat MA63, keadilan ekonomi, dan kedaulatan undang-undang.