LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) serta kelab-kelab bertanding berdepan cabaran besar untuk menarik semula kehadiran peminat ke stadium bagi menyaksikan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
Penganalisis sukan tempatan, Afizal Abu Othman berkata, isu seperti jadual liga yang agak kelam-kabut selain masalah tunggakan gaji yang membelenggu pasukan perlu diatasi sekiranya mahu melihat saingan liga kembali meriah.
"Trend penurunan ini semakin ketara setiap tahun. Bukan sahaja final Piala Malaysia baru-baru ini mencatat penurunan, malah dalam aksi liga biasa pun, kehadiran penonton tidak mencecah 20,000 orang setiap minggu.
"Jadual agak kelam-kabut, tiba-tiba dipinda selain tempoh rehat pula terlalu panjang. Ada ketika skuad negara bermain, liga tetap berjalan, tetapi bila aksi antarabangsa tamat, liga pula ‘berehat’,” katanya kepada Sukan Sinar.
Afizal yang juga Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya (UM) turut menyarankan agar kelab memainkan peranan yang lebih proaktif dalam mendekati penyokong bagi memastikan mereka lebih terlibat dan bukan sekadar hadir menonton perlawanan.
"Mungkin ada yang kata menonton di televisyen lebih mudah, tetapi siaran langsung pun sudah lama ada. Isunya ialah bagaimana kelab hendak menarik minat penyokong untuk hadir secara fizikal ke stadium.
"Sebab itu perlu ada ‘match day event’. Ia penting supaya wujud interaksi antara kelab dan penyokong. Kalau tidak, penonton hanya beli tiket, tengok perlawanan dan balik begitu sahaja. Jadi, di mana elemen yang boleh menarik penyokong ke stadium?,” ujarnya.
Pada masa sama, Afizal mencadangkan agar kelab menyediakan pelbagai aktiviti sampingan seperti gerai pameran bersama penaja dan acara interaktif melibatkan kelab dan penyokong sebagai sebahagian daripada pengalaman hari perlawanan.
Katanya, langkah seperti ini bukan sahaja meningkatkan keterujaan peminat, malah membantu dalam membina hubungan jangka panjang antara kelab dan komuniti penyokong masing-masing.
Beliau juga menyarankan agar MFL melalui Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Shazli Shaik Mohd, mengadakan perbincangan bersama rakan kongsi liga dengan memberi gambaran sebenar tentang realiti yang sedang berlaku dalam dunia bola sepak tempatan.
"Shazli antara orang lama dalam MFL dan beliau sangat berpengalaman, sudah tentu ada idea tersendiri.
"Rakan kongsi pun faham situasi sebenar yang berlaku selama ini. Jadi, mereka juga perlu beri maklum balas kerana isu ini ada kaitan dengan keadaan di stadium ‘home’ masing-masing,” ujarnya.