PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang mengalami serangan asma di Pulau Perhentian, Terengganu menerusi operasi pemindahan perubatan (Medevac) pada Sabtu.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, operasi segera itu dilakukan selepas pusat operasi menerima panggilan kecemasan daripada petugas kesihatan di Klinik Kesihatan Pulau Perhentian pada jam 12.15 tengah hari.
"Sebuah bot ronda telah digerakkan ke lokasi sebelum membawa pesakit ke jeti penumpang Kuala Besut dalam tempoh kurang satu jam.
"Pesakit kemudian dibawa menaiki ambulans ke Hospital Besut bagi mendapatkan rawatan kecemasan kerana keadaannya yang semakin lemah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, tindakan pantas semua pihak telah memastikan pesakit menerima rawatan segera dan operasi Medevac itu berakhir sepenuhnya pada jam 3 petang tanpa sebarang insiden tidak diingini.
Ujarnya, Maritim Malaysia Kelantan sentiasa bersedia membantu komuniti maritim, khususnya mereka yang tinggal di kawasan terpencil atau sukar diakses seperti pulau-pulau.
Ujarnya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan keadaan kesihatan dan segera menghubungi pihak berkuasa jika berlaku kecemasan.
"Sebarang kejadian kecemasan atau aktiviti mencurigakan di laut boleh dilaporkan terus ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Kelantan di talian 09-7780070," katanya.