KUALA LUMPUR – Seorang pesara berusia 73 tahun berjaya menamatkan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Islam dari Open University Malaysia (OUM).
Bapa kepada sembilan anak dan datuk kepada 25 cucu itu, Yusof Haron, berkata semangatnya untuk melanjutkan pelajaran tidak pernah luntur meskipun tidak berpeluang berbuat demikian semasa usia muda demi memastikan anak-anaknya berjaya ke menara gading.
"Sebenarnya, semasa muda saya tidak mempunyai peluang untuk melanjutkan pelajaran kerana kekangan kewangan yang dihadapi keluarga ketika itu.
"Namun, Alhamdulillah saya berjaya menghantar semua anak saya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Selepas mereka berjaya, saya pula bersara dan mula menyambung pelajaran sejak tahun 2010.
"Saya tidak nafikan banyak cabaran yang terpaksa dilalui pada usia ini, seperti masalah penglihatan, namun saya tidak menganggapnya sebagai halangan untuk meneruskan pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen ke-29 OUM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, pada Sabtu.
Yusof merupakan antara penerima Anugerah Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam majlis berkenaan.
Mengulas lanjut, anak kelahiran Manjung, Perak itu berkata beliau amat bersyukur kerana menerima sokongan penuh daripada seluruh ahli keluarga apabila menyatakan hasrat untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, seorang lagi warga emas yang turut menerima anugerah sama dan berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Komunikasi ialah Tang Tung Khing, 79.
Menurut bapa kepada tiga anak itu, kejayaan anak-anaknya menamatkan pengajian masing-masing menjadi sumber inspirasi buatnya untuk menyambung pelajaran.
"Saya percaya kini warga emas juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang mencukupi.
"Malaysia merupakan sebuah negara yang memberi peluang kepada pelbagai kaum untuk mendapatkan pendidikan, tanpa mengira latar belakang atau umur. Ini sangat memudahkan dan banyak membantu saya,” ujarnya.