SPRM mungkin panggil agensi penguat kuasa isu kargo KLIA

Iklan
Azam Baki

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa agensi penguat kuasa bagi membantu siasatan susulan dakwaan penyeludupan bahan berbahaya melalui kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, proses itu akan melibatkan siasatan aspek keselamatan penumpang dan barangan di pintu masuk lapangan terbang.

Iklan
Iklan

"SPRM sedang meneliti secara terperinci semua prosedur sedia ada berkaitan pengurusan keluar masuk barangan melalui pintu kargo, bagi memastikan setiap garis panduan dipatuhi dan tiada ruang ketirisan yang boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

"Siasatan juga melibatkan usaha mengenal pasti sama ada berlaku cubaan merasuah pegawai agensi penguat kuasa di KLIA oleh pihak tertentu bagi mengelakkan tindakan undang-undang," katanya pada Sabtu.

Iklan

Katanya, pihaknya sudah memanggil seramai lapan orang saksi termasuk wakil syarikat yang dikenal pasti mempunyai kaitan secara langsung dan tidak langsung dengan isu yang sedang disiasat.

"Proses ini dijalankan bertujuan mendapatkan keterangan dan melengkapkan keseluruhan proses siasatan.

Iklan

"Kemungkinan akan lebih ramai lagi akan dipanggil untuk peringkat seterusnya namun ia bergantung kepada keperluan serta maklumat yang diterima sepanjang siasatan dijalankan ketika ini," katanya.

Terdahulu, media melaporkan SPRM sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyeludupan bahan berbahaya melalui kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), yang dipercayai dilakukan dengan memalsukan pengikraran kandungan sebagai barangan isi rumah.