PUTRAJAYA - Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) direman tiga hari sehingga 5 Mei ini bagi membantu siasatan kes tuntutan mengandungi butiran matan palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.
Perintah reman terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah, Eleanor Mako Timothy, selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini, pagi Sabtu.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira jam 11 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
"Dana itu adalah daripada sukuk bagi projek pembinaan lebuh raya bernilai RM1.3 bilion,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau turut memaklumkan, empat individu lain yang direman sebelum ini pada Rabu lalu telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri, disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu berjumlah kira-kira RM360 juta.
Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 50-an hingga 70-an itu ditahan antara jam 4 hingga 6 petang ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.