PONTIAN – Seorang guru kerugian RM181,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian atau ‘phone scam’ yang menyamar sebagai wakil syarikat insurans dan anggota polis.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, wanita berusia 44 tahun itu menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa mewakili sebuah syarikat insurans pada awal Januari.
"Suspek memaklumkan bahawa nama mangsa telah digunakan dalam satu tuntutan palsu di sebuah hospital swasta di Ampang.
"Selepas itu, mangsa dihubungi oleh seorang lagi suspek yang menyamar sebagai anggota polis dan mendakwa terdapat 17 kes jenayah dikaitkan dengan mangsa, termasuk penglibatan dalam sindiket pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Mohammad Shofee, mangsa yang panik kemudiannya diarahkan membuat beberapa pembayaran kononnya bagi menyelesaikan kes berkenaan.
"Akibat terpedaya, mangsa telah membuat tujuh transaksi ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek, dengan jumlah keseluruhan RM181,000.
"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas menyemak semula maklumat yang diterima dan segera membuat laporan polis pada Jumaat,” ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai digalakkan agar lebih cakna terhadap trend semasa jenayah komersial bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
"Sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, tindakan segera perlu diambil dengan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan aliran keluar wang daripada akaun suspek disekat,” katanya.