GEORGE TOWN - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta mempertimbangkan pembinaan sebuah hospital kerajaan baharu di kawasan Bayan Baru bagi memenuhi keperluan penduduk setempat yang semakin mendesak.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, perkara itu telah dikemukakan secara rasmi kepada Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad ketika lawatannya ke Klinik Kesihatan Bayan Baru pada Jumaat bagi meninjau pelaksanaan waktu operasi lanjutan dari jam 5 petang hingga 9.30 malam.
Tze Tzin berkata, kawasan Parlimen Bayan Baru mempunyai populasi sekitar 389,608 orang dengan kepadatan penduduk 10,881 orang bagi setiap kilometer persegi, majoritinya terdiri daripada golongan B40 dan pekerja kilang.
"Hospital sedia ada seperti Hospital Pulau Pinang dan Hospital Balik Pulau masing-masing terletak sejauh 19 kilometer dan 17 kilometer, menyebabkan kesukaran terutamanya kepada warga emas serta pesakit kronik untuk mendapatkan rawatan segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata, peningkatan jumlah warga emas di kawasan itu turut menyumbang kepada keperluan mendesak bagi sebuah kemudahan kesihatan awam yang lebih dekat dan menyeluruh.
Katanya, Dr Dzulkefly menerima cadangan tersebut secara terbuka namun menyatakan kekangan utama adalah isu ketersediaan tanah yang sesuai di Bayan Baru.
"Menurut YB Menteri, Kementerian Kesihatan memerlukan sekurang-kurangnya 10 ekar tanah untuk membangunkan hospital berskala besar.
"Beliau berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat membantu mengenal pasti tapak yang sesuai,” katanya lagi.