JOHOR BAHRU - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang kakaknya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 12, Jalan Johor Bahru-Air Hitam pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 9.33 malam, membabitkan sebuah motosikal jenis Modenas dan treler yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 37 tahun.
Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggang oleh seorang wanita berusia 20 tahun dan dibonceng oleh adiknya berusia 18 tahun hilang kawalan.
"Motosikal tersebut kemudian terbabas sebelum terjatuh di bawah tayar kiri belakang treler berkenaan.
"Akibatnya, pembonceng motosikal itu mengalami kecederaan parah di bahagian muka serta kaki dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Tambah beliau, penunggang motosikal pula dilaporkan mengalami kecederaan ringan iaitu calar di bahagian badan, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu atau membahayakan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Noor Azlina Abdul Raof di talian 013-2864878," katanya.