Rangka manusia dipercayai milik lelaki hilang ditemui dalam semak

Iklan
Seorang lelaki yang sedang membersihkan kawasan semak di belakang rumahnya di Felda Bukit Mendi di sini dikejutkan dengan penemuan rangka manusia termasuk tengkorak dipercayai milik lelaki hilang.

BERA – Seorang lelaki yang sedang membersihkan kawasan semak di belakang rumahnya di Felda Bukit Mendi di sini terkejut dengan penemuan rangka manusia termasuk tengkorak, dalam kejadian pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, laporan mengenai penemuan tersebut diterima sekitar jam 11.50 malam oleh seorang lelaki berusia 51 tahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lelaki terbabit sedang menjalankan kerja meracun kawasan semak kira-kira jam 4.30 petang apabila menemui rangka, tengkorak, pakaian dan sebuah telefon lama yang disyaki milik mangsa.

"Pada awalnya, pengadu menyangka objek tersebut adalah patung sebelum dinasihatkan rakannya untuk membuat laporan polis bagi siasatan lanjut.

Iklan

"Hasil siasatan awal mendapati rangka manusia tersebut berada kira-kira 100 meter dari rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Rangka berkenaan ditemui dalam keadaan berselerak, manakala pakaian seperti baju, seluar dan jaket turut dijumpai berhampiran.

Tambah beliau, lokasi penemuan berada di kawasan tanah rizab Felda yang berpaya dan dipenuhi semak samun. Rangka berkenaan ditemui dalam keadaan berselerak, manakala pakaian seperti baju, seluar dan jaket turut dijumpai berhampiran.

Iklan

Rangka tersebut telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Bera untuk proses pengesahan identiti melalui ujian DNA (asid deoksiribonukleik).

Zulkiflee memaklumkan bahawa pihak polis sebelum ini menerima laporan kehilangan seorang lelaki berusia 48 tahun dari Felda Bukit Mendi pada Julai tahun lalu.

"Setakat ini, ahli keluarga terdekat mengesahkan rangka yang ditemui itu berkemungkinan milik lelaki yang hilang berdasarkan pakaian yang dijumpai. Namun, siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.