Op Samseng Jalanan: 25 motosikal disita, 165 saman dikeluarkan

Iklan
Polis IPD Pasir Puteh sentiasa melakukan Op Samseng Jalanan bagi membendung aktiviti menunggang motosikal secara melulu. Foto hiasan

PASIR PUTEH - Sebanyak 25 motosikal disita dan 165 saman atas pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh di kawasan Merkang di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, operasi bersepadu itu dijalankan pada jam 6.30 petang hasil risikan dan maklumat orang awam.

Iklan
Iklan

"Sebanyak 165 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu serta pengubahsuaian struktur kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

"Selain itu, 25 motosikal turut disita untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, pemeriksaan latar belakang jenayah dan ujian saringan air kencing turut dilakukan ke atas individu yang ditahan dalam operasi tersebut.

Ujar Zaizul Rizal, pihaknya akan terus melaksanakan operasi khas dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan samseng jalanan dan lumba haram di kawasan panas sekitar daerah ini.

Iklan

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dengan sebarang aktiviti menunggang motosikal secara berbahaya dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain.

"Kami (polis) sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat melakukan kesalahan jalan raya,” katanya.