KUALA LUMPUR - Seorang wanita dipercayai telah dilarikan selepas gagal hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan wanita tersebut di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada 9 April lalu, kira-kira jam 3.02 petang.
Menurutnya, wanita terbabit dijadualkan hadir ke pejabat SPRM pada tarikh berkenaan bagi memberi keterangan berkaitan siasatan yang sedang dijalankan.
"Ketidakhadiran mangsa pada 9 April lalu telah disahkan oleh pihak SPRM.
"Siasatan telah dibuka berkaitan kejadian ini di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Rusdi berkata, mangsa sebelum ini telah beberapa kali hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan berkaitan kes yang disiasat.
Menurutnya, satu laporan polis juga telah dibuat oleh peguam mangsa di Seri Kembangan, Selangor berhubung kehilangan tersebut.
"Rakaman percakapan daripada beberapa individu termasuk pegawai SPRM dan peguam mangsa juga telah diambil bagi membantu siasatan.
"Siasatan lanjut masih diteruskan oleh pihak polis,” katanya.