PITAS - Seorang nelayan yang sebelum ini dilaporkan hilang ketika menangkap ikan ditemui meninggal dunia selepas mayatnya dijumpai terapung di perairan pantai Kampung Rosob di sini, pada Jumaat.
Mangsa, Muslim Masapi, 57, ditemui pasukan penyelamat pada jam 1.55 tengah hari ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di kawasan tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Balai Polis Daerah Pitas mengenai kejadian seorang lelaki yang dikhuatiri lemas pada malam Khamis.
Menurutnya, seramai tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari BBP Pitas.
"Difahamkan, mangsa dilaporkan hilang ketika sedang menangkap ikan di pesisir pantai berkenaan bersama anaknya sekitar jam 11 malam, Khamis.
"Mangsa kemudian ditemui dalam keadaan terapung dan tidak sedarkan diri kira-kira 200 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi ditamatkan pada jam 2.25 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada sebarang bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.