KUANTAN - Polis Pahang telah menghantar kertas siasatan kes membabitkan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman dan kini sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak perundangan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kertas siasatan itu telah dikemukakan minggu lalu bagi tujuan semakan.
"Kertas siasatan itu telah dihantar ke Ibu Pejabat dan kita kini sedang menunggu maklum balas untuk arahan selanjutnya.
"Ia masih belum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) kerana kita terlebih dahulu perlu mendapatkan pandangan daripada pihak perundangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program High Profile Policing: Perjumpaan Ketua Polis Pahang bersama peniaga barang lusuh negeri Pahang di Kompleks Logistik Alor Akar di sini pada Jumaat.
Pada 15 April lalu, Yu Hui dan Pengerusi Save Musang King Alliance (Samka), Wilson Chang dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan bagi membantu siasatan.
Yu Hui dan Wilson ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas semasa operasi penguatkuasaan kebun durian haram di Raub.
Sebelum ini, operasi penguatkuasaan ke atas kebun durian di Raub mencetuskan pelbagai reaksi apabila pekebun didakwa tidak berpuas hati selepas tanaman mereka dimusnahkan.
Dalam perkembangan lain, Yahaya mengesahkan penahanan lima individu kerana menceroboh kawasan hutan simpan dua hari lalu.
Katanya, kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perhutanan 1960.
"Kita ada menangkap lima orang yang menceroboh kawasan hutan simpan dan masih ditahan sehingga 4 hari bulan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Yahaya menjelaskan pencerobohan tanah kerajaan merupakan satu kesalahan dan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukannya.
"Saya ingin nak mengingatkan mereka yang menceroboh tanah ini supaya tidak menceroboh tanah. Itu adalah hak kerajaan,” tegasnya.
Menurut beliau, tindakan penguatkuasaan akan diteruskan di semua daerah di Pahang dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
"Ini bukan berlaku di Raub saja, di lain-lain daerah yang terlibat. Jadi kita akan membantu pihak penguat kuasa... PTG, UPNP, Pejabat Hutan untuk mereka menjalankan tindakan,” katanya.