MELAKA - Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak.
Tertuduh, Musizuddin Mohamad, 28, membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Haderiah Siri.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja melakukan amang seksual fizikal dengan meraba payudara dan kemaluan mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun.
Tindakan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Batang Tiga, Tanjung Kling di sini pada jam 7 pagi, Februari tahun lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdullah Mohd Rodzlad menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan menyerahkan pasport jika ada.
Peguam, Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah terhadap anak guamnya.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta bersetuju dengan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 9 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan tertuduh yang masih bujang direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini selepas dipercayai mencabul anak asuhan ibunya.
Sumber berkata, kejadian terbongkar selepas ibu mangsa menerima panggilan telefon daripada guru yang meminta dia segera datang ke sekolah.
Menurutnya, ketika pertemuan itu, guru terbabit memberitahu mangsa telah dicabul oleh suspek sejak kanak-kanak itu berusia tujuh tahun di rumah pengasuhnya itu di Kampung Batang Tiga.
Mangsa yang kini berusia 12 tahun mendakwa telah dicabul oleh lelaki terbabit semasa dia berada di bilik ketika ibu suspek sedang sibuk di dapur.