KUANTAN - Hanya kerana percaya akan menerima lampu solar percuma, seorang suri rumah akhirnya terjerat dalam sindiket kerja sambilan tidak wujud hingga mengakibatkan kerugian lebih RM136,000.
Kejadian bermula apabila wanita berusia 39 tahun menerima satu panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mendakwa kononnya dia layak menerima barangan percuma pada Isnin lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan Telegram yang menawarkan peluang pekerjaan mudah dengan bayaran komisen serendah RM2.50 bagi setiap tugasan.
Menurutnya, mangsa juga diminta membuat bayaran awal RM30 untuk menerima komisen RM4.80.
"Suspek kemudian memujuk mangsa menjadi ejen dengan syarat perlu menang pertandingan sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga hari, dan bayaran sebanyak RM200 dimasukkan ke satu akaun bank.
"Mangsa menerima bayaran semula RM260 dan menyebabkan dia percaya tawaran itu sahih,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Yahaya berkata, mangsa seterusnya membuat 13 transaksi ke 10 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan mencecah RM136,110 dari 28 hingga 30 April lalu.
"Selesai bayaran tersebut, mangsa tidak mendapat apa-apa bayaran dan tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh kerana menyedari telah ditipu," katanya.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak polis atau mana-mana agensi berkenaan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
"Jika diminta untuk memberikan apa-apa maklumat perbankan, jangan dedahkan sebarang maklumat.
"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.