Pamer harga ubat: Tiada saman dalam tempoh tiga bulan

Iklan
Dr Azuana bersama Ketua Pengarah penguatkuasaan KPDN, Datuk Azman Adam mengadakan sidang media berhubung Inisiatif Pemaparan Harga Ubat Di Kemudahan Jagaan Kesihatan Swasta Dan Farmasi Komuniti yang diadakan pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak berhasrat untuk mengeluarkan notis saman atau apa-apa tindakan kepada hospital dan farmasi yang gagal mempamerkan harga ubat dalam tempoh tiga bulan 'grace period' Perintah Pemaparan Harga Ubat.

Sebaliknya kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Farmasi) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Azuana Ramli, Perintah Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Ubat) 2025 yang dilaksanakan bermula Khamis akan menumpukan kepada penguatkuasaan pendidikan.

Iklan
Iklan

"Tempoh tiga bulan ini merupakan fasa penguatkuasaan pendidikan, inilah masanya untuk KKM menjalankan advokasi dan melihat bagaimana perintah ini dilaksanakan oleh pihak pelaksana," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kekeliruan industri mengenai perintah pelaksanaan tersebut pada sesi taklimat Inisiatif Pemaparan Harga Ubat di sini pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir, Ketua Pengarah Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam.

Sebelum ini portal berita melaporkan aduan oleh Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) mengenai klinik yang dilawati oleh KPDN dan mengeluarkan notis amaran untuk klinik memaparkan harga ubat dalam tempoh tiga hari atau berdepan dengan saman.

Iklan

Sementara itu, Azman menangkis dakwaan FPMPAM bahawa pegawai penguatkuasa KPDN telah mengeluarkan notis berkenaan.

Menurutnya, pasukan penguatkuasa KPDN berada di kawasan berkenaan untuk melaksanakan penguatkuasaan Ops Gasak dan pemantauan harga telur ayam yang dikurangkan subsidi pada hari sama.

"Kebetulan klinik tersebut dibuka dan beroperasi. Pegawai kami cuma menanyakan sama ada dia (klinik) tahu atau tidak mengenai pelaksanaan perintah tersebut. Itu sahaja.

"Tidak ada apa-apa dokumentasi yang dikeluarkan pegawai tersebut.

"Saya harap ini dapat menjelaskan kekeliruan," ujar Azman.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk melakukan pemeriksaan yang diterajui oleh KKM bagi memastikan pelaksanaan yang lebih baik terhadap perintah tersebut.

"Kami akan cuba berikan yang lebih terbaik kepada industri dan industri juga boleh memahami sekiranya ada sebarang persoalan," katanya.

Semua jenis ubat yang dijual atau dibekalkan di farmasi komuniti serta fasiliti kesihatan swasta perlu mempunyai penandaan harga bermula 1 Mei susulan pelaksanaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).

Skop penandaan harga merangkumi semua ubat untuk kegunaan manusia, sama ada ubat terkawal, bebas atau produk kesihatan lain.

Ia termasuk ubat yang memerlukan preskripsi doktor, ubat tanpa preskripsi atau ‘over-the-counter’ (OTC), ubat tradisional, suplemen kesihatan dan juga ubat bancuhan (extemporaneous).