KUALA LUMPUR - Tiga lelaki maut apabila kereta yang dinaiki terbabas melanggar pembahagi jalan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara, berhampiran susur Balakong, pada Jumaat.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 5.57 pagi.
Menurut kenyataan itu, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besi dengan bantuan BBP Bukit Jalil, membabitkan kekuatan 10 anggota, dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Shahrum Din memaklumkan bahawa pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 6.07 pagi.
"Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang terbabas dan melanggar pembahagi jalan di susur keluar lebuh raya,” kata kenyataan itu.
Katanya, semua mangsa yang parah serta tersepit dalam kenderaan dikeluarkan anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia.
"Terdapat tiga lelaki tersepit dan anggota bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan kesemua mangsa.
"Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang berada di lokasi,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, operasi ditamatkan pada jam 7.29 pagi.
Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.