Dua maut motosikal langgar lampu merah

Iklan
Seorang penunggang motosikal serta pemboncengnya maut selepas terlibat kemalangan di KM5 Jalan Banting-Jugra, Kuala Langat pada Khamis. Gambar kecil: Akmalrizal

KUALA LANGAT - Dua maut selepas motosikal yang dinaiki melanggar isyarat lampu merah sebelum merempuh sebuah kereta di Kilometer 5, Jalan Banting - Jugra di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Akmalrizal Radzi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang, siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Corolla Altis berhenti di persimpangan kerana lampu isyarat merah.

Iklan
Iklan

Katanya, pemandu kereta yang juga eksekutif sebuah syarikat berusia lingkungan 50-an kemudiannya membelok ke kanan apabila lampu isyarat bertukar hijau.

"Bagaimanapun, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dinaiki dua individu dari arah bertentangan bergerak terus lalu melanggar sisi kiri kereta itu.

Iklan

"Pelanggaran tersebut menyebabkan kedua-dua mereka tercampak dan jatuh di atas jalan. Penunggang dan pembonceng mengalami kecederaan parah di kepala," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, penunggang dan pembonceng terbabit kemudiannya telah dikejarkan ke Hospital Banting.

Iklan

Menurutnya, kira-kira jam 2.15 petang, pegawai perubatan Hospital Banting mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa telah meninggal dunia semasa menerima rawatan.

"Siasatan mendapati penunggang motosikal itu tidak mematuhi isyarat lampu merah ketika kejadian," ujarnya.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Nor Baiti Mustafa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222.