SHAH ALAM- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijangka siap pada November 2026 dan beroperasi awal 2027 bakal membawa hala tuju baharu selain menjadi pemangkin utama kemajuan ekonomi negeri Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, Dato’ Mohamad Nizar Najib berkata, melihat kepada trend pelaburan di negeri itu, golongan pelabur cenderung memberi tumpuan kepada taman perindutstrian yang mempunyai sambungan serta jajaran yang strategik.
"Ketika ini, Gebeng di Kuantan merupakan taman perindustrian yang paling mendapat tumpuan kerana sambungannya jelas dengan Pelabuhan Kuantan di sana.
"Stesen ECRL juga akan dibina di kawasan binaan selain kerajaan negeri dalam perancangan untuk membina lapangan terbang baharu yang terletak di Gebeng, bersempadan dengan Kemaman (Terengganu). Jadi itu adalah titik pelaburan utama.
"Namun selepas ECRL siap sepenuhnya, saya rasa taman perindustrian lain seperti di Gambang, Temerloh, Bentong dan Maran akan turut mendapat limpahan ekonomi yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program audio siar Sinar Daily bertajuk ‘Politik dan Kemajuan’ yang dihoskan oleh Tasnim Lokman yang disiarkan di semua platform digital Sinar Daily.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak memaklumkan, kerja pemasangan landasan sepanjang 40 kilometer (km) bagi jajaran utama dari Maran, Pahang hingga ke Kota Bharu akan siap lebih awal daripada dijadualkan.
Jajaran di Pahang sepanjang 258 km akan merangkumi tujuh stesen dengan stesen Cherating dan KotaSAS untuk tujuan penumpang manakala Kuantan Port City, Paya Besar, Maran, Temerloh dan Bentong menjadi stesen gabungan penumpang dan kargo.
Dalam pada itu, Mohamad Nizar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya menjelaskan, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail akan memastikan pembangunan negeri terbesar di Semenanjung Malaysia itu tumbuh seimbang.
Menurutnya, kerajaan negeri akan sedaya upaya menarik pelabur untuk membina kilang atau perniagaan di daerah-daerah lain supaya tumpuan tidak hanya kekal di Kuantan.
"Memang sekarang kebanyakannya berlaku di Kuantan, tetapi kita kena pastikan, sekurang-kurangnya sebahagian daripada manfaat ekonomi hasil projek sambungan seperti ECRL, Central Spine Road (CSR) dan sebagainya turut dirasai oleh daerah-daerah lain.
"Berdasarkan pemerhatian kita selepas mengadakan bengkel Pahang Ease of Doing Business Workshop 2025 – Innovate to Elevate dan menjemput agensi kerajaan dari seluruh Malaysia seperti Kulim Hi-Tech, Majlis Perbandaran Kulai dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), mereka kongsikan bahawa fasilitasi menjadi kunci utama.
"Ini kerana pelabur mahu proses yang pantas, kelulusan cepat dan keputusan segera. Jadi, tanggungjawab terletak pada kerajaan negeri dan semua agensi di bawahnya untuk mencari jalan bagaimana kita boleh percepatkan proses kelulusan, permudahkan urusan pelabur dan kurangkan kos menjalankan perniagaan,” jelasnya.
Pelan Transformasi Ekonomi Pahang 2030
Dalam pada itu, Mohamad Nizar memaklumkan, kerajaan negeri sudah di peringkat akhir merangka Pelan Transformasi Ekonomi Pahang 2030 dan dijangka akan diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.
Menurutnya, masih terdapat beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan antara kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain.
Namun secara umumnya beliau menjelaskan, pelan induk berkenaan akan menentukan keutamaan dan hala tuju negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
"Kerajaan negeri telah menetapkan arah tuju utama dengan beberapa objektif yang jelas, antaranya menjadikan Pahang sebuah ekonomi bernilai RM100 bilion.
Mengulas lanjut beliau berkata, Pahang berpotensi menjadi contoh negeri pintar yang berjaya mengimbangi pembangunan bandar dan luar bandar sambil memperkasa ekonomi digital, tenaga hijau dan bakat digital.
"Dengan kekuatan infrastruktur seperti ECRL, potensi pelaburan dalam taman perindustrian bersepadu, komitmen terhadap kelestarian alam sekitar serta teknologi, Pahang mampu mengangkat imejnya bukan sahaja sebagai negeri pelaburan yang kompetitif, tetapi peneraju transformasi digital dan hijau di Malaysia.
"Jadi, dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, saya percaya kita mampu mencapai apa yang dirancang dalam Pelan Transformasi Ekonomi Pahang 2030.
"Menjelang tempoh itu, hasil kerajaan negeri juga akan meningkat dua kali ganda iaitu daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion,” jelasnya.