Lelaki hilang selepas bot terlanggar tiang Jambatan Kedua Pulau Pinang

Iklan
Mangsa yang mengendalikan sebuah bot terjatuh ketika mencari kerang selepas botnya terlanggar salah satu tiang Jambatan Kedua Pulau Pinang pada pagi Khamis.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas terjatuh dari bot yang dinaikinya berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah pada pagi Khamis.

Difahamkan, mangsa bersama bapa dan rakannya sedang mencari kerang di kawasan berkenaan ketika insiden berlaku.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.39 pagi.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Lela Dollah segera digerakkan ke lokasi kejadian di Kilometer 4.2, Tiang No. 274, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, Batu Kawan.

Iklan

"Ketibaan pasukan bomba mengambil masa kira-kira 10 minit selepas panggilan diterima,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mangsa dikenali sebagai Ismail Ahmad, 28, dan sehingga kini masih belum ditemui.

Iklan

Mohamad Shoki berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila bot yang dikendalikan mangsa secara bersendirian melanggar tiang jambatan menyebabkan dia tercampak ke dalam laut.

"Bapa dan rakannya menaiki bot berasingan dan berada dalam keadaan selamat. Operasi pencarian masih diteruskan,” katanya.

Tambahnya, usaha mencari mangsa dijalankan menggunakan kaedah pencarian permukaan air (Water Surface Searching) dan operasi turut disertai Persatuan Nelayan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).