ROMPIN - Seorang pekerja kilang udang maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor lembu di Kilometer 67, Jalan Ibam-Rompin di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 12.45 tengah malam itu, mangsa berusia 51 tahun berasal dari Sabah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dipercayai dalam perjalanan pulang dari Kampung Tebu Hitam ke rumahnya di Kampung Kerpal.
"Ketika tiba di lokasi, mangsa dipercayai terlanggar lembu yang berada di tengah jalan menyebabkan motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum terbabas dan jatuh.
"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Sharif Shai berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pemilik haiwan terlibat digesa tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu juga diminta menyalurkannya kepada pegawai penyiasat di talian 013-3969895 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Sementara itu, polis menasihatkan pemilik lembu agar tidak membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran sehingga boleh membahayakan keselamatan orang ramai, khususnya pengguna jalan raya.
"Pemilik yang membiarkan ternakan berkeliaran boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 9(1) Enakmen Kawalan Kerbau dan Lembu Negeri Pahang 2021 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.