KOTA BHARU - Rumah Dhuafa' di Kampung Badang, Pengkalan Chepa yang kini dalam pembinaan merupakan antara alternatif yang difikirkan sesuai untuk lapan keluarga mangsa kebakaran di Kampung Kijang pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang, Datuk Dr Izani Husin berkata, penyediaan rumah dhuafa itu juga bergantung pada keadaan kewangan selain kesesuaian kediaman berkenaan.
Menurut Dr Izani, bagaimanapun pihaknya sedang berusaha mengumpulkan kira-kira RM500,000 melalui pembukaan tabung khas bagi membolehkan kesemua mangsa insiden itu tinggal di kediaman baharu.
"Pada hari ini kita berjaya mengumpul lebih RM93,000 untuk mangsa terlibat dan berharap masih ada lagi sumbangan daripada syarikat korporat dan individu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Kutipan Derma Bagi Membantu Mangsa Kebakaran, Tabung Aman DUN Kijang pada Khamis.
Dr Izani memberitahu, tabung berkenaan dibuka dalam tempoh sebulan bagi membolehkan lebih ramai menderma.
Tambahnya, perbincangan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud juga sudah dilakukan untuk memohon rumah duafa' yang dijangka siap pada Ogos.
Bagaimanapun, pihaknya akan berbincang dengan mangsa terlibat kerana paling utama kesemua mereka difikirkan sesuai untuk diberi rumah berbanding wang sumbangan.
Dr Izani yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar berkata, buat masa ini kesemua mangsa dicadangkan untuk menyewa kediaman lain dan akan ditanggung oleh pihaknya hasil kerjasama kerajaan negeri dan sumbangan ramai.
Pada majlis itu, Dr Izani memberi sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 selain ahli keluarga terdekat dan anak syarikat kerajaan negeri yang turut menyumbang.